Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Pergi ke sana bermaksud kita menyahut panggilan Allah SWT, yang telah dilaungkan oleh nabi-nabi terdahulu seperti Adam dan Ibrahim. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 27:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, ayat ini merujuk kepada arahan Allah kepada nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke tanah suci itu untuk menunaikan haji bagi menyahut seruan Allah. Nabi Ibrahim terpinga-pinga, dan tertanya-tanya bagaimanakah mampu baginda memanggil manusia datang sedangkan bumi tersebut pada waktu itu adalah bumi yang kering-kontang tanpa berpenghuni.
Allah menjawab, "Engkau serulah, dan biarkan Kami yang menyampaikan seruan tersebut."
Lantas nabi Ibrahim pun berdiri di tempat yang tinggi, dan menyeru sekuat-kuatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menyediakan rumah ibadah untuk kamu, maka tunaikanlah haji ke sini."
Menurut riwayat, bukit-bukau dan gunung-ganang tunduk ketika seruan itu dibuat, sehingga ianya didengar ke seluruh alam. Akhirnya manusia sehinggalah ke hari ini, berduyun-duyun datang ke Makkah setiap musim haji, menyahut seruan Allah melalui nabi Ibrahim, dengan berkata Labbaikallahumma Labbaik.... kami datang wahai Tuhan, kami datang menyahut seruanmu.
Sewajarnya zikir talbiah itu perlu dilaungkan dengan rasa kerdil, insaf dan bersyukur, kerana Allah memilih kita untuk menjadi mereka yang menyahut seruannya itu. Subhanallah.... mustahil manusia yang jernih hatinya tidak rasa tersentuh ketika membaca talbiah ini.
Menunaikan haji juga membawa maksud kita menziarahi rumah ibadat pertama yang telah dibina oleh nabi Adam mengikut beberapa riwayat yang telah dilaporkan oleh Imam al-Tabari di dalam tafsirnya. Ahli sejarah menyatakan yang Ka'bah telah roboh antara 5 hingga 12 kali akibat banjir dan faktor lain. Nabi Muhammad merupakan nabi terakhir yang turut terlibat di dalam pembangunan semula Ka'bah.
Rukun dan wajib haji adalah simbolik siaran ulangan terhadap nilai sebuah pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail terhadap arahan Allah. Melaksanakannya memerlukan pengorbanan serta ketabahan mental dan fizikal. Pengorbanan itu falsafahnya ialah sebagai neraca keIslaman kita. Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggi nilai Islam kita di sisi Allah. Dengan sebab itulah apabila Allah menceritakan kesanggupan nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail melakukan pengorbanan besar di dalam hidup anak-beranak, maka Allah menggunakan perkataan Aslama di dalamnya, yang daripadanya lahirlah perkataan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Soffat ayat 103:
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
YA ALLAH .hambaMU ini memohon agar dapat menjejakkan kaki ke tanah suciMU pada tahun ini jika dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur..
amin...
No comments:
Post a Comment